Mesjid Tasek Gelugor

Bahrul Mazi 20


Masalah 23. Hingga 26.



Masalah 23. Hingga 26.

23.) Bab : Yang telah datang pada menunjukkan hadis tentang terdapatnya beberapa nama bagi Nabi SAW
24.) Masalah : Nabi SAW dinamakan dengan nama Muhammad - Apakah sebabnya ?
25.) Masalah : Apakah maksud nama Al-Ma'hi yang diberikan kepada Nabi SAW itu ?
26.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan tentang tegahan menghimpun nama Nabi SAW dan gelaran yang diberikan kepada baginda


23.) Mukasurat 24 Bab : Yang telah datang pada menunjukkan hadis tentang terdapatnya beberapa nama bagi Nabi SAW
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, adalah Nabi SAW itu terdapat beberapa banyak nama untuk baginya. Iaitu kira-kira lebih daripada empat ratus nama. Manakala telah dinahkalkannya oleh Ibn Arabi bahawa Rasulullah SAW mempunyai kira-kira seribu nama.
Maka dengan nama yang banyak ini, menunjukkan bahawa bersangatan mulianya orang yang mempunyai nama yang sedemikian itu. Di dalam banyak-banyak nama yang ada pada Nabi SAW itu, ada sesetengah nama itu yang mahsyur, dan ada pula sesetengahnya yang tidak bergitu mahsyur.
Sesetengah daripada nama yang mahsyur itu tersebut di dalam hadis, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Muth'im bin Adi bin Naufal r.a, katanya telah bersabda Nabi SAW :
Bahawasanya ada bagiku beberapa nama, akulah yang bernama Muhammad dan akulah juga yang bernama Ahmad.

24.) Masalah : Nabi SAW dinamakan dengan nama Muhammad - Apakah sebabnya ?
Kata Al-Qistalani - Sesungguhnya telah dinamakan oleh Allah SWT nama Nabi SAW itu dengan beberapa nama yang banyak di dalam Al-Quran yang mulia dan juga di dalam lain-lain kitab yang diturunkan Allah Taala dari langit atau yang datang dari lidah Nabi Muhammad SAW sendiri. Bahawasanya yang lebih mahsyur daripada segala nama-nama itu adalah nama Muhammad, dan kemudiannya diiringi dengan nama Ahmad.
Nama Muhammad itu telah diberikan oleh datuk baginda, iaitu Abdul Mutalib. Nama inilah yang dipilih oleh beliau ketika ditanya oleh orang kepadanya - nama apakah yang akan diberikan kepada cucunya.
Malahan disoal pula oleh orang mengapakah pula nama Muhammad itu yang dipilih, kerana nama tersebut sangatlah asing dan tidak pernah digunakan oleh kaum keturunan Abu Mutalib sebelum ini. Sedangkan sudah menjadi adat orang-orang Arab menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama datuk nenek mereka.
Apabila disoal orang hal yang sebegini, maka berkata Abu Mutalib kepada mereka :
Sebab pun aku menamakan dirinya dengan nama Muhammad itu kerana aku mengharapkan ia dipuji oleh ahli-ahli bumi semuanya.
Sabda Nabi SAW :
Dan aku juga bernama Al-Ma'hi yang menjadi penghapus untuk Allah Ta'ala terhadap kekufuran

25.) Mukasurat 25 Masalah : Apakah maksud nama Al-Ma'hi yang diberikan kepada Nabi SAW itu ?
Kata Al-Zurqani di dalam Syarhul Muwahib - Adalah Al-Ma'hi itu membawa maksud penghapus atau pun pemadam. Sebab pun baginda dinamakan dengan nama yang sedemikian itu adalah kerana bahawasanya dibangkitkan Nabi SAW itu di dunia yang sedang berada di dalam kelam kekufuran.
Maka dengan Allah SWT mengutuskan Nabi SAW itu seumpama nur yang menerangi dunia, terhapus dan hilanglah kekufuran yang tgerdapat di dalam negeri Mekah dan juga di benua Arab dan kawasam-kawasan di sekelilignya.
Selain daripada itu, boleh juga nama Al-Ma'hi itu berbentuk umum, iaitu sebagai kemenangan dan maju sehingga boleh mengalahkan agama-agama lain semuanya.
Sabda Nabi SAW lagi :
Dan aku bernama Al-Aqib atau penghimpun yang menghimpun manusia di atas seruanku dan aku juga yang pengakhir, yang tidak ada kemudiannya daripada aku sebagai Nabi.
Kata Abu Isa At-Termizi ~ bermula hadis ini hasan lagi sahih, dan pada bab ini ada riwayat daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a

26.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan tentang tegahan menghimpun nama Nabi SAW dan gelaran yang diberikan kepada baginda
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, adalah perbuatan menghimpunkan nama untuk diberikan kepada sesaorang umat Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan nama baginda berserta gelaran Abu Kassim yang dipakainya, telah bersalah-salahan ulamak di dalam memberikan pendapat mereka di dalam hal ini. Ianya boleh dibahagikan kepada empat kaul :
Kaul Pertama : Ditegah menghimpun nama dan gelaran Nabi SAW ( Misalnya Muhammad Abu Kassim ). Bagimana pun sekiranya diberikan kepada sesaorang itu salah satu daripada keduanya adalah tidak mengapa.
Dalil yang menunjukkan tegahan yang sedemikian itu adalah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Hurairah r.a, katanya
Bahawasanya Nabi SAW telah menegahkan sesaorang daripada umatnya itu menghimpunkan nama dan gelaran-gelaran baginda, dengan nama Muhammad Abul Kassim.
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini hasan lagi sahih.
Kata Ibn Qayyim di dalam Kitab Zadul Ma'ad - Pendapat ulamak yang menegah sebagaimana pendapat di atas bersesuaian seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Menurut mereka adalah perbuatan menghimpun nama dan gelaran Nabi SAW itu lebih menunjukkan kepada ketentuan diri Rasulullah.
Sebaliknya jika diletakkan kepada sesaorang itu dengan nama salah satu daripada kedua ini ( Muhammad atau Abu Kassim ) nescaya tidaklah mengapa dan terlepas daripada ketentuan yang dinyatakan ini.
Kaul Kedua : Adalah perbuatan sesaorang umat Muhammad meletakkan gelaran Abu Kassim itu ditegah ketika hayat Nabi SAW sahaja, dan diharuskan pula pada setelah wafat baginda kemudiannya.
Ulamak berpendapat bahawa tegahan tersebut tertentu pada masa hayat Nabi SAW sahaja kerana ianya sabit mengiku As-Sahih, berdasarkan hadis Anas bin Malik yang menyebutkan bahawasanya telah terjadi disebuah tempat bernama Al-Baqi', apabila seorang laki-laki menyeru : Ya Abul Kassim
Pada masa itu juga Rasulullah yang kebetulan ada di situ telah berpaling kepadanya.
Maka kata laki-laki itu kepada baginda : Ya Rasulullah, sesungguhnya aku bukanlah memanggil kamu, bahkan aku memanggil si-polan itu.
Apabila mendengar jawapan laki-laki itu, lalu bersabda Nabi SAW :
Letakkanlah oleh sekelian kamu dengan nama ku tetapi hanya jangan diletakkannya dengan nama panggilanku.
Kaul Ketiga : Bahawasanya tidak harus meletakkan atau memanggil seaorang itu dengan panggilan gelaran Nabi SAW sekali-kalinya, samada disertakan dengan nama baginda ( Muhammad ) atau pun tidak disertakannya bersama, dan juga samada ketika Nabi SAW masih hidup atau pun selepas kewafatan baginda.
Dalil yang menunjukkan larangan seperti yang dinyatakan di atas ini adalah sebagai hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Jabir r.a , katanya bahawanya telah bersabda Nabi SAW :
Apabila sekelian kamu mahu meletakkan nama dengan namaku maka janganlah digunakan nama panggilanku
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini hasan lagi sahih.
Kaul Keempat : Adalah diharuskan untuk menghimpunkan nama Nabi SAW dan juga gelaran baginda kepada sesaorang daripada umatnya. Ini adalah berdasarkan pendapat yang dinakhalkan oleh Imam Malik.
Kaul ini juga ada diriwayatkan oleh Abu Daud, dan juga oleh Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang daripada Khalifah Raulullah SAW, yang juga adalah sepupu dan menantunya bernama Syaiddina Ali bin Abi Talib krw yang pernah menanya kepada Nabi SAW :
Ya Rasulullah, apakah fikiran kamu sekiranya aku dikurniakan anak kemudian daripada wafat mu. Maka adakah boleh aku namakannya Muhammad dan aku panggilnya dengan gelaran Abul Kassim
Jawab Rasulullah SAW :
Bahkan ( diharuskannya ).
Lalu kata Syaiddina Ali krw :
Maka jadilah ianya maaf bagiku
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini hasan lagi sahih.
Dan ianya juga ada tersebut di dalam Sunan Abu Daud, daripada Siti Aisyah r.a yang berkata bahawa telah datang seorang kepada Nabi SAW, maka katanya :
Ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendapat seorang abdi dan aku namakannya dengan nama Muhammad dan aku memanggilnya dengan gelaran Abul Kassim, dan telah sampai khabar kepadaku bahawa kamu membencikan yang demikian itu. Maka adakah sebenarnya tuan kamu membenci dan menegah perbuatan yang seperti itu ?
Maka sabda Nabi SAW kepada perempuan itu :
Apakah ada yang menghalalkan namaku dan mengharamkan gelaran dan panggilan untukku, atau apakah ada yang mengharamkan panggilanku dan menghalalkan nama-namaku ?
Ulamak yang memberikan kaul ini mengatakan bahawa adalah segala hadis yang menunjukkan tegahan berkenaan pekara ini telah dinasahkan dengan dua hadis ini.