Mesjid Tasek Gelugor

Bahrul Mazi 20


Masalah 27. Hingga 30.



Masalah 27. Hingga 30.

27.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang menerangkan bahawasanya sesetengah daripada syair itu terdapat di dalamnya perkataan yang baik-baik
28.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang menunjukkan bahawa diharuskan membaca syair
29.) Masalah : Membaca syair di dalam mesjid - Apakah hukumnya ?
30.) Masalah : Bersyair dengan kata-kata yang bermakna dalam dan amat berkesan


27.) Mukasurat 28 Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang menerangkan bahawasanya sesetengah daripada syair itu terdapat di dalamnya perkataan yang baik-baik
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, terdapat di dalam kalam Melayu, Arab atau bahasa-bahasa lain mengenai syair. Biasanya kalam syair itu mempunyai kandungan isi yang dalam maknanya dan menarik sehingga boleh membangkitkan dan menyukakan hati. Selalunya juga pada sesuatu syair itu kandungannya ringkas tetapi dari segi mafhumnya luas dan dalam sekali.
Maka begitulah juga syair-syair di dalam bahasa Arab yang diolah oleh orang-orang Arab sendiri. Di mana Nabi SAW pernah mengakui bahawa sesetengah daripada syair itu mempunyai kata-kata hikmah di dalamnya.
Pengakuan Nabi SAW ini ada tersebut di dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya bahawa telah bersabda Nabi SAW :
Sesetengah daripada syair itu mempunyai hikmah
Yakni isi syair itu mempunyai perkataan yang benar dan berbetulan dengan pekara-pekara yang sebenarnya berlaku serta menunjukkan kepada jalan yang betul. Misalnya seperti syair-syair yang dibacakan untuk maksud dari segi syaraknya atau maksud-maksud yang disukai dan diharuskan untuk mengarang, membaca dan menuturkannya.
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini gharib daripada ini wajah dan pada bab ini ada juga riwayat daripada Ubai bin Ka'ab, Ibn Abbas, Siti Aisyah, Buraidah dan Abdillah daripada bapanya yang daripada neneknya.

28.) Mukasurat 29 Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang menunjukkan bahawa diharuskan membaca syair
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, adalah mendengar dan membaca sesuatu syair yang baik dan tidak bersifat buruk pada isi kandungannya diharuskan oleh syarak.
Dalil yang menunjukkan hal yang demikian ini adalah hadis yang telah dikeluarkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang isteri Rasulullah SAW yang dikasihi baginda yang bernama Siti Aisyah r.a, bahawasanya Nabi SAW telah menghantar kepada seorang sahabatnya yang bernama Hassan bin Tsabit r.a sebuah mimbar ke Mesjid Madinah. Lalu berdiri tegaklah Hassan di atas mimbar tersebut dengan melawan perasaan megah untuk memuji dan menceritakan tentang kehebatan Nabi SAW serta bertujuan untuk menolak kejian dan umpatan orang kafir ke atas baginda.
Maka bersabda Nabi SAW :
Bahawasanya Allah SWT menguatkan Hassan dengan roh Al-Qudus selama ia melawan megah dan mempertahankan Rasulullah SAW.
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini hasan lagi sahih lagi gharib. Dan pada hadis ini ada juga riwayat daripada Abi Hurairah dan Al-Baraq.

29.) Mukasurat 30 Masalah : Membaca syair di dalam mesjid - Apakah hukumnya ?
Kata Imam Nawawi rmt di dalam Syarah Muslim - pada hadis yang seperti di dalam masalah 28.) menunjukkan bahawasanya harus membaca syair di dalam mesjid apabila kalam atau perkataan yang digunakan itu adalah sesuatu yang diharuskan.
Malahan menjadi sunat pula untuk bersyair itu apabila ianya berbentuk memuji Islam dan ahli-ahlinya, atau bertujuan mengumpat dan mengeji orang-orang kafir serta memberikan perangsang untuk memerangi dan menghina mereka itu dan yang seumpamanya. Ini kerana yang demikian itulah syair telah dibacakan oleh Hasan seperti yang tersebut di dalam hadis di atas tadi.

30.) Masalah : Bersyair dengan kata-kata yang bermakna dalam dan amat berkesan
Sesungguhnya telah dikatakan sebelum ini bahawa kalam syair itu bergantung kepada kepandaian orang-orang yang mengarangnya.
Ada syair yang boleh menguatkan hati, dan ada juga syair yang boleh memanaskan hati sehingga mahu melakukan sesuatu yang sangat dikehendakinya.
Ada pula syair yang berbentuk pantun seloka yang boleh membawa pendengarnya kepada pekara-pekara yang tidak baik seperti yang berunsur berkasih-kasih atau asyik mahsyuk dan juga kepada mahu melakukan maksiat seprti berzina, berumpat-umpatan, bermegah-megah dan lain-lainnya.
Bagaimana pun sekiranya syair itu boleh membawa kepada maslahat yang diharuskan oleh syarak maka adalah diharuskan bersyair itu. Ini adalah sebagaimana yang telah diperbuat oleh sahabat Nabi SAW dihadapan baginda seperti mana yang tersebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi dengan katanya -
Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Anas bin Malik r.a, bahawasanya Nabi SAW telah memasuki ke negeri Mekah Al-Mukaramah bagi mengerjakan umrah sebagai ganti tahun di mana baginda dan kaum Muslimin dihalang daripada memasuki Mekah.
Seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abdullah bin Rawahah yang berada di hadapan Nabi SAW telah bersyair sewaktu beliau berjalan kaki untuk memasuki kota Mekah itu, dengan kira-kira maknanya :
Lapangkanlah oleh sekelian kamu, hai anak-anak orang kafir daripada Nabi ini, sekiranya sekelian kamu tidak mahu memberikan kelapangan atau sekelian kamu mahu mengendalakan kami daripada mengerjakan umrah, nescaya akan kami hentam sekelian kamu ;
Kami hentam dengan sehabis-habis hentam, yang menjauhkan ketua-ketua kaum dan pemimpin kamu daripada tempat tidurnya pada waktu tengah hari, dan menjadikan taulan meninggalkan taulannya.
Ketika Abdullah bin Rawahah bersyair itu, Syaiddina Umar bin Al-Khattab ada bersama-sama dan telah mendengar syair tersebut dibacakan dihadapan Nabi SAW. Maka berkata Syaiddina Umar :
Hai Ibn Rawahah, adakah patut kamu berjalan di hadapan Rasulullah serta telah memasuki Tanah Haram di dalam keadaan bersyair begini ?
Apabila didengar oleh Rasulullah SAW kata Syaiddina Umar bin Al-Khattab itu, bersabda Nabi SAW :
Biarkanlah ianya hai Umar, biarkan ia bersyair demikian itu supaya boleh terdengar oleh orang-orang kafir, kerana ianya adalah kalam yang sehabis-habis cepat yang boleh mencapai ke dalam hati mereka itu, iaitu lebih cepat dan deras daripada tercapainya anak panah ke atas mereka.
Kata Abu Isa At-Termizi ~ Bermula hadis ini hasan lagi sahih lagi gharib daripada ini wajah.